Permohonan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kepada PKS. Berita baik buat majikan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19. Untuk makluman, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19. Program ini membolehkan majikan yang layak untuk memohon e-CAP untuk penangguhan dan menstruktur semula caruman syer majikan untuk caruman bulan April, Mei dan Jun 2020.
Ramai sudah tahu pekerja di sektor swasta boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari KWSP. Permohonan ini telah dibuka pada 1 April lalu melalui i-Akaun dan portal i-Lestari Online. Kini, majikan pun tak terkecuali untuk membuat bayaran penstrukturan semula melalui program e-CAP mulai 23 April 2020.
Permohonan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kepada PKS
Berikut dikongsikan adalah maklumat tentang Program Bantuan Majikan COVID-19 termasuk memaparkan tarikh, syarat kelayakan dan cara permohonan :
Tarikh Permohonan : Mulai 23 April 2020
Apakah Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP)?
KWSP maklum bahawa penularan pandemik COVID-19 telah menyebabkan persekitaran perniagaan yang sukar kepada sektor perniagaan dan banyak syarikat sedang menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi mereka.
Justeru, KWSP melancarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 bermula 23 April 2020 bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak untuk menguruskan aliran tunai bulanan perniagaan di samping membantu majikan untuk terus kekal beroperasi serta terus mengekalkan tenaga kerja mereka.
Program ini membolehkan majikan memohon penangguhan dan penstrukturan Bayaran Caruman Syer Majikan untuk caruman bulan April, Mei & Jun 2020 (Upah bulan Mac, April & Mei 2020).
Semakan Kelayakan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP)
Untuk memohon kemudahan e-CAP, majikan PKS perlu :
a. Mempunyai serta menggajikan 200 orang pekerja atau kurang.
b. Memastikan semua bayaran caruman (syer majikan dan pekerja) setakat caruman bulan Februari 2020 (upah bulan Januari 2020) adalah teratur.
c. Memastikan bayaran caruman syer pekerja telah diselesaikan sepenuhnya untuk bulan yang dimohon (April, Mei dan Jun).
Cara Mohon Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP)
Majikan yang berdaftar dengan KWSP boleh membuat bayaran penstrukturan semula ini di saluran-saluran berikut :
- i-Akaun (Majikan)
- Kaunter KWSP
- Kaunter Bank yang dilantik oleh KWSP
KWSP akan menerima permohonan untuk bayaran penstrukturan caruman syer majikan mulai 23 April 2020. Pelan penstrukturan semula ini akan berakhir pada 30 Disember 2020.
Soalan Lazim e-CAP KWSP
1. Adakah bayaran penstrukturan bulanan termasuk dengan caruman bulanan berkanun yang juga perlu dibayar oleh majikan?
Pembayaran penstrukturan bulanan tidak termasuk pembayaran caruman berkanun. Pembayaran mestilah diselesaikan secara berasingan. Bayaran untuk caruman bulanan berkanun mestilah diselesaikan secara berasingan.
2. Bagaimanakah jika saya ingin berhenti daripada program ini sebelum pelan penstrukturan tamat?
Jika anda ingin berhenti sebelum pelan penstrukturan tamat, anda hendaklah membuat pembayaran penuh.
3. Bolehkah saya memanjangkan tempoh penstrukturan dari pelan penstrukturan caruman sedia ada?
Program e-CAP ini adalah khusus bagi caruman bulan April, Mei dan Jun 2020. Semua pembayaran hendaklah dijelaskan sepenuhnya sebelum 30 Disember 2020.
Untuk pertanyaan lanjut, sila rujuk pada set soalan lazim di https://www.kwsp.gov.my/ms/ecap-faq atau hubungi Pegawai Khidmat Nasihat Majikan KWSP anda.
BACA JUGA : Permohonan Pengeluaran i-Lestari KWSP Secara Online