20 Soalan Lazim Program Subsidi Upah PERKESO (FAQ). Berita baik buat majikan dan pekerja yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19. Untuk makluman, kerajaan telah mengumumkan Pakej Prihatin PKS dimana memperkenalkan satu program baharu iaitu Program Subsidi Upah khas kepada majikan terutamanya dalam sektor perusahaan kecil sederhana. Permohonan ini boleh dikemukakan oleh majikan bagi pihak pekerja untuk Program Subsidi Upah mulai 9 April 2020. Sebenarnya, program ini adalah penambahbaikan daripada Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diperkenalkan pada Mac lalu. Berikut adalah 20 soalan lazim Program Subsidi Upah.
20 Soalan Lazim Program Subsidi Upah PERKESO (FAQ)
Berikut dikongsikan adalah maklumat tentang Program Subsidi Upah termasuk memaparkan soalan-soalan dan jawapan :
1) Apakah Program Subsidi Upah?
a. Subsidi Upah adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah untuk tempoh tiga (3) bulan sahaja.
b. Tujuan Program Subsidi Upah ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.
2. Bilakah Program Subsidi Upah mula berkuatkuasa dan bila ia berakhir?
i. Program Subsidi Upah mula berkuatkuasa pada 1 April 2020.
ii. Tempoh Program Subsidi Upah adalah selama 3 bulan bermula 1 April 2020 atau mengikut bulan permohonan dikemukakan.
iii. Tarikh akhir permohonan Program Subsidi Upah adalah pada 15 September 2020.
3) Apakah penambahbaikan Program Subsidi Upah yang diumumkan pada 6 April 2020?
Program Subsidi Upah yang diumumkan pada 6 April 2020 adalah menggantikan Progam Subsidi Upah yang telah diumumkan pada 27 Mac 2020. Penambahbaikan Program Subsidi Upah adalah seperti di bawah :
4) Siapakah yang TIDAK LAYAK memohon Program Subsidi Upah?
- Majikan atau perusahaan yang mendaftar dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2020;
- Majikan dan pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan PERKESO;
- Pekerja yang telah mendapat bantuan kewangan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) pada bulan yang sama;
- Pekerja yang bergaji bulanan melebihi RM4,000;
- Pekerja yang telah diberhentikan kerja;
- Pekerja sektor awam, badan berkanun persekutuan dan negeri, semua badan berkanun yang diasingkan saraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers; serta
- Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate)
5) Bagi permohonan Program Subsidi Upah, apakah dokumen yang diperlukan?
- Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan);
- Maklumat akaun bank majikan (Salinan muka depan Penyata Bank sahaja);
- Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank seperti di 5 (ii) di atas. Sila rujuk pihak bank;
- Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / pihak berkuasa Perkhidmatan Profesional, Saintifik atau Teknikal / Lesen Perniagaan;
- Akuan Pengisytiharan PSU50; dan
- **Dokumen sokongan seperti penyata kewangan atau laporan jualan yang telah disahkan oleh pihak pengurusan atau lain-lain dokumen berkaitan.
6) Apakah yang dimaksudkan dengan maklumat Business Registration Number (BRN) yang perlu diperolehi daripada pihak bank?
i. Maklumat Business Registration Number (BRN) adalah maklumat nombor pendaftaran perniagaan majikan yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun semasa syarikat di bank.
ii. Majikan perlu mengisi Borang BRN yang perlu dimuat turun dari capaian laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my dan memuat-naik kembali ke laman sesawang tersebut setelah ianya dilengkapkan.
iii. Maklumat Akaun Bank dan BRN syarikat seperti di atas diperlukan bagi tujuan pembayaran terus ke akaun majikan secara Electronic Fund Transfer (EFT).
7) Apakah Akuan Pengisytiharan PSU50?
Akuan Pengisytiharan PSU50 ialah suatu dokumen pengesahan dan akujanji secara bertulis bahawa majikan mengesahkan atau mengisytiharkan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya adalah benar dan betul bagi tujuan permohonan Program Subsidi Upah.
8) Bolehkah majikan yang telah beroperasi sebelum 1 Januari 2020 tetapi tidak berdaftar dengan PERKESO memohon Program Subsidi Upah?
Boleh. Mana-mana majikan yang ingin mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah tetapi masih belum berdaftar dengan PERKESO, hendaklah memenuhi syarat berikut:
i. Telah berdaftar dengan SSM, PBT atau pihak berkuasa Perkhidmatan Profesional, Saintifik atau Teknikal sebelum 1 Januari 2020
ii. Mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja
iii. Mendaftar dengan PERKESO
9) Bagi permohonan Program Subsidi Upah bulan berikutnya, Adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baru bagi tuntutan yang seterusnya?
Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah yang baru bagi tuntutan kedua dan ketiga. Walau bagaimanapun, majikan dikehendaki mengemaskini perubahan maklumat bagi tuntutan kedua dan ketiga sekiranya berlaku apa-apa perubahan kepada status
perniagaan atau bilangan pekerja yang layak melalui sistem. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
10) Bolehkah majikan memohon semula Program Subsidi Upah yang terkini (6 April 2020) sekiranya majikan telah memohon Program Subsidi Upah yang telah diumumkan sebelum ini (27 Mac 2020)?
Boleh. Bagi majikan yang telah mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah yang selaras dengan pengumuman pada 27 Mac 2020 DAN mempunyai pekerja melebihi 100 orang, majikan kini boleh mengemukakan permohonan baru bagi baki pekerja dengan jumlah had tidak melebihi 200 orang. Syarat-syarat permohonan adalah seperti di Jadual 1 (Soalan 3).
11) Bagaimanakah perusahaan yang bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendak membuktikan kadar penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih?
Majikan boleh membuktikan penurunan sebanyak 50% atau lebih dengan dokumen sokongan yang menunjukkan hasil jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Januari 2020 berbanding bulan-bulan berikutnya.
12) Sekiranya majikan mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah pada bulan Jun, adakah subsidi upah akan dibayar dari bulan April (backdated) atau bermula pada bulan Jun?
Subsidi upah akan dibayar mulai dari bulan permohonan dikemukakan dan tiada pembayaran bulanan ke belakang (backdated).
13) Sekiranya saya tidak mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah, adakah saya boleh memberhentikan pekerja saya pada bila–bila masa?
Boleh. Walau bagaimanapun, mana-mana majikan yang ingin
memberhentikan pekerja adalah tertakluk di bawah semua Peraturan dan Undang-Undang Perburuhan di Malaysia seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
14) Bagaimanakah majikan akan dapat mengetahui sama ada permohonan subsidi upah telah diluluskan atau ditolak?
a. Majikan akan dimaklumkan status permohonan sama ada diluluskan atau ditolak melalui emel.
b. Senarai nama majikan yang diluluskan permohonan Program Subsidi Upah juga akan dipaparkan di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/ termasuk bilangan pekerja yang diluluskan.
15) Bagaimanakah cara untuk saya membayar gaji kepada pekerja saya, sekiranya menyertai Program Subsidi Upah?
Majikan hendaklah membayar gaji pekerja seperti biasa dengan kadar yang sama dan kemudian mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah kepada PERKESO. Bantuan subsidi upah yang diterima dari PERKESO
adalah bantuan kewangan kepada majikan. Bayaran caruman PERKESO dan SIP adalah wajib diteruskan berdasarkan gaji sebenar pekerja.
16) Syarikat saya mempunyai pekerja warganegara Malaysia dan juga pekerja bukan warganegara tetapi belum mendaftar dengan PERKESO. Bolehkah saya mendaftar dengan PERKESO dan memohon Program Subsidi Upah bagi pihak pekerja warganegara Malaysia sahaja?
Boleh. Majikan perlu mendaftar atau mencarum terlebih dahulu dengan PERKESO sebelum mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah. Permohonan ini hanya layak untuk pekerja warganegara Malaysia sahaja. Majikan juga perlu mengisytihar jumlah bilangan pekerja warganegara Malaysia dan pekerja bukan warganegara**.
17) Apakah perbezaan antara SIP, Program ERP dan Program Subsidi Upah?
18) Bagaimanakah perusahaan yang bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendak membuktikan kadar penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih?
Majikan boleh membuktikan penurunan sebanyak 50% atau lebih dengan dokumen sokongan yang menunjukkan hasil jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Januari 2020 berbanding bulan-bulan berikutnya.
19) Adakah pekerja saya mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah bagi diri sendiri?
Tidak. Semua permohonan Program Subsidi Upah mestilah dikemukakan oleh majikan.
20) Sekiranya seorang pekerja bekerja dengan Syarikat A dan Syarikat B dan mencarum kepada PERKESO, adakah kedua-dua syarikat layak untuk memohon Program Subsidi Upah?
Ya. Kedua-dua syarikat layak untuk memohon Program Subsidi Upah bagi pekerja yang sama selagi mematuhi syarat-syarat kelayakan seperti di Jadual 1 (Soalan 3).
BACA JUGA : Permohonan Program Subsidi Upah PERKESO
Sumber : FAQ