Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Lengkap | Bilakah hari raya Haji atau Hari Raya Aidiladha tahun 2018 bersamaan 10 Zulhijjah 1439H? Apabila berakhirnya bulan Ramadhan dan kemudian bulan Syawal, umat Islam bakal menyambut satu lagi perayaan terbesar iaitu Hari Raya Aidiladha. Sudah tentunya umat Islam akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha sebagai tanda kesyukuran kita kepada tuhan yang Esa. Berikut adalah panduan solat sunat Hari Raya Aidiladha yang lengkap.
Solat Sunat Hari Raya Aidiladha atau juga Solat Sunat Hari Raya Haji merupakan solat sunat yang didirikan secara bersendirian atau lebih afdhal secara berjemaah pada awal pagi Hari Raya Aidiladha. Hukumnya adalah sunat muakkad yang sangat-sangat dianjurkan oleh Rasullulah yang kebiasaanya diawalkan sedikit berbanding solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Lengkap
Berikut dikongsikan adalah maklumat tentang cara solat sunat Hari Raya Aidiladha yang lengkap sebagai panduan buat umat Islam :
Hukum Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
Solat sunat hari raya haji (Aidiladha) hukumnya sunat Muakkad (sangat digalakkan). Segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa. Cuma ditambahkan dengan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir. Sembahyang sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah. Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.
Lafaz Niat Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Dan Tasbih
Berikut adalah lafaz niat solat sunat aidiadha dan tasbih beserta makna.
Lafaz niat solat sunat aidiladha (untuk makmum)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
Lafaz tasbih
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.
Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha
◎ Rakaat Pertama
– Mulai dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat aidilfitri/aidiladha di dalam hati.
– Membaca doa iftitah.
– Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
– Membaca surah Al-Fatihah.
– Membaca surah Al-Quran (disunatkan membaca surah Al-A’laa).
– Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.
◎ Rakaat kedua
– Mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
– Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
– Membaca surah Al-Fatihah.
– Membaca surah Al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah Al-Ghaasyiyah).
– Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
– Memberi salam.
Khutbah Aidiladha
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Semoga perkongsian tentang cara solat sunat Hari Raya Aidiladha ini dapat dijadikan panduan buat umat Islam khususnya di Malaysia. Selamat menunaikan ibadat dan menyambut hari raya Aidiladha tahun 1439H.
Sumber : JAKIM